Tuesday 7 April 2015

Jangan salahkan Allah

Kalau kita diuji dengan dugaan yang maha berat
Jangan salahkan Allah

Jangan salahkan Allah!
Itu pesan saya, kerana kadang-kala Allah menguji hambaNya dengan pelbagai cara.
Sakit? Masalah? Stress? Gangguan makhluk halus? Hutang menimbun (yang ini salah sendiri)

Ketika sakit, minda dan fikiran kita dalam keadaan tak stabil.
Mulalah menyalahkan Allah...
Kenapa Allah menyakitkan aku?
Kenapa Allah menduga aku dengan sesuatu yang tak mampu aku tanggung?
Adakah Allah tak suka pada aku?
Adakah Allah tak sayangkan aku?

Janganlah macam tu...

Anda sakit sekali--itulah sekali Allah nak duga.
Fikirkan, sejak azali lagi Allah telah berikan segala nikmat yang tidak terhingga kepada kita, sejak lahir, hinggalah saat ini...
Umur, rezeki, badan yang sihat, kebahagiaan, rasa gembira, kebajikan, (tak terhitung banyaknya!)
Tapi sakit sikit saja, kita sudah lupakan segala kebaikan dan nikmat yang Allah pernah beri pada kita.
Janganlah macam tu...

Bukan ke penyakit itu adalah salah satu cara untuk menyucikan dosa...
Juga untuk menguji sejauh mana tahap keimanan dan kesabaran kita...
Allah turunkan penyakit--berserta penawarnya.

Seperti yang saya ceritakan sebelum ini,
Saya sakit sejak kecil lagi.
Tapi, waktu kecil kita tak pernah risau, tak pernah berusaha untuk cari penawar, sebaliknya emak dan ayahlah yang berusaha sedaya upaya untuk mencari penawar untuk anak kesayangan mereka ni...
Kini emak dan ayah dah tak ada... terpaksalah saya risau untuk diri sendiri.

Tapi tidak pernah terdetik pun untuk menyalahkan Allah. (Jika ada, 'Aku mohon ampun Ya Allah!)
Kerana Allah telah menghidupkan saya, memberi saya sebuah keluarga yang bahagia, memberi saya rezeki makan, kami ada tempat tinggal yang elok, jiran-jiran yang baik, bukanlah itu semua nikmat daripadaNya?

Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita, sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa.
Kita sebagai hambaNya, bertenang dan harungilah hari-hari seterusnya dengan rasa syukur...

Kalau hidup kita sering ada turun naiknya, maknanya Allah peduli pada kita...

Betulkan jika saya tersilap. 

Monday 6 April 2015

Gangguan Ketika Tidur

Saya sering diganggu sama ada pada waktu siang, atau pun ketika sedang tidur...
Biasanya kalau tidur malam, punyalah payah nak lelapkan mata,
Lebih teruk lagi kalau kaki saya direntap,
Atau terasa seperti seseorang sedang memerhatikan saya dari satu sudut
Rasa takut, meremang bulu roma,
Bunyi benda terjatuh ke lantai
Tidur tersentak-sentak

Tapi, ada sekali dua badan terasa dihimpit, jika tidur mengiring rasa dipeluk pulak.

Biasanya kalau dihimpit, badan kita pasti sukar nak bergerak, nak jerit pun tak boleh,
Caranya, mula-mula gerakkan hujung jari dulu (untuk buka kunci / melepaskan diri daripada dihimpit)
Kalau dah boleh gerakkan jari, serta-merta jin tu akan lepaskan kita
Terus azan dan baca surah-surah (Ayatul Kursi, 3 Qul, etc)

Bila tidur, mimpi pula yang bukan-bukan,
Mimpi berada di tempat yang sangat kotor
Mimpi berada di tempat gelap
Mimpi melihat sesuatu menyerupai manusia, tetapi sangat tinggi, sangat tegap, sangat besar
Mimpi yang tak senonoh
Mimpi binatang (kucing, ular, buaya)

Dulu, perkara-perkara di atas sering berlaku pada saya.
Tapi, sejak saya amalkan solat Tahajud, amalkan ayat-ayat Quran, amalkan bacaan manzil, sedikit-sedikit ia mula menghilang.

Baru-baru ni pun mula dengar bacaan manzil lebih 3 kali sehari dengan MP3,
Sekali dengan membaca manzil, sekali lepas subuh, sekali lepas maghrib,
Minum air doa, pakai minyak kasturi,
Lepas tu baca Bismillah 6 setiap kali lepas solat fardhu,
Dan baca doa usir jin...
In sha Allah, ia sangat membantu.

Pengalaman kita kongsi sama-sama.

Minyak Kasturi

Saya percaya ada antara anda yang sukar mendapatkan minyak kasturi yang di ruqyah.
Oleh itu, saya berikan satu cara untuk membuat minyak kasturi anda sendiri.

  • Beli minyak kasturi (kasturi putih / kasturi hitam / kasturi kijang) RM 5 sebotol
  • Buka penutup botol minyak dan letakkan di tepi pemain MP3
  • Buka bacaan Manzil dan Ayat Azab berulang-ulang kali guna MP3

Atau
  • Baca sendiri ayat-ayat manzil dan ayat azab terus pada muncung botol minyak kasturi

Gunakan bila-bila masa pada rongga-rongga terbuka pada tubuh badan : kening (berdekatan mata), hidung, mulut, telinga, pusat, jari-jari tangan dan kaki (antara kuku dan jari), dan tempat-tempat lain. Boleh juga dicalitkan pada baju yang dipakai.

Minyak kasturi bukan saja wangi, malah ia ada kebaikannya tersendiri. Sedangkan Nabi Muhammad SAW juga sukakan wangi-wangian kasturi. Kita sebagai umat Muhammad, cubalah mengikut sunnahnya. Bukan saja anda sentiasa wangi, malah dapat pahala juga. Tapi, janganlah wanita pakai wangi-wangian sebab nak menarik hati lelaki. Itu dah lain macam pulak. Daripada nak dapat pahala, tup-tup dapat dosa.

Sunday 5 April 2015

Doa Usir Jin Dari Rumah

Unaa syidukum bil ahdil ladzii ahozahuu alaikum sulaimaanu
an takhrujuu watarhaluu mim baitina
unaa syidukumullaha al la tu'zuu ahada'

Wahai Ifrit (golongan jin) aku peringatkan kepada kamu sumpah yang dibuat oleh Nabi Sulaiman
kamu keluar dan pergi dari rumahku dan aku peringatkan juga kepada kamu
jangan sesekali kamu menyakiti penghuni rumah ini.

Friday 3 April 2015

Air Doa dan Manzil


Saya selalu buat air doa sendiri. Sendiri baca, sendiri minum. Maklumlah, saya mengubati diri sendiri sejak gagal berubat dengan beberapa orang sebelum ini. Kenapa gagal? Pertama, kerana kekangan kewangan. Sekali jumpa, RM 50. Seminggu 3-5 kali jumpa. Tak termasuk harga minyak kasturi RM 50, juga pagar rumah RM 150. Terus-terang, saja kehabisan banyak duit kerana masalah ini. Kedua, saya rasa saya terlalu bergantung pada perawat, sehingga terlupa untuk berusaha sendiri.

Pernah sekali, saya mengupah seorang makcik (Pengamal perubatan islam) untuk memagar rumah saya, dengan air dan garam bacaan). Selesai semuanya, Abang saya bayar duit dalam sampul, RM 150. Tiba-tiba, kata makcik tu, duit tu lesap. Baru sekejap bertukar tangan. Sampul itu sepatutnya tebal dengan duit yang berlipat--alih-alih, poof! Hilang. Kata makcik tu, mungkin tak ada rezeki. Nasib baik dia tak minta ganti.

Seingat saya, setelah berubat banyak kali dengan dua-tiga orang pengamal perubatan, hasilnya tetap sama. Gangguan tetap datang--hinggalah saya berputus asa dan tidak melayan kerenah gangguan itu (walaupun saya rasa sangat tertekan).

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk merawat diri sendiri, dengan bacaan Al-Quran, solat Tahajud, sedekah, guna minyak kasturi, mandi air bacaan, minum air doa, dan bermacam-macam cara saya cuba.

Baru-baru ini saya cuba method baru. Saya buka bacaan Manzil dari MP3, dan biarkan ia dimainkan sepanjang malam dalam bilik tidur. (Saya tidur di ruang tamu) Disamping itu, saya letakkan sebotol air di tepi speaker. Bayangkan ia dimainkan sepanjang malam. Berpuluh-puluh kali air itu menangkap bacaan Manzil.

Walau bagaimana pun, kita hanya berusaha, Allah jugalah yang menyembuhkan... Jangan fikir air itu sebagai air jampi yang berkuasa pula. Allah jualah yang berkuasa.

Tapi, kalau anda nak baca sendiri pun boleh juga. Sebaik-baiknya dilakukan selepas solat.
Ambil sebotol air mineral, baca dengan tertib dan yakin tanpa sebarang kesilapan (takut lain pula maknanya), kemudian tiupkan perlahan-lahan pada muncung botol air tersebut. Yakin pada Allah.

Tapi, jangan terkejut kalau anda minum air manzil tu, tiba-tiba badan rasa semacam.

Ingatlah--Allah yang menyembuhkan. Bukan kerana minum air tu, kita sembuh. Itu tak betul. Urusan sembuh atau tidak, itu ketentuan Allah. Kita hanya berusaha. Dan ingatlah, kalau pun ada perawat yang merawat kita, tak semestinya kita sebagai pesakit tak perlu buat apa-apa. Diri sendirilah yang perlu memainkan peranan.

Jangan tinggal solat, bacalah Al-Quran, lakukan solat-solat sunat, dan apa-apa saja kebaikan untuk mengusir anasir kejahatan. Sesungguhnya, jin atau syaitan tidak suka pada manusia yang suka melakukan kebaikan.

Wednesday 1 April 2015

Kalau Anda Sakit

Kadang-kala kita sihat wal afiat. Kadang-kala kita sakit.
Dan sakit mungkin menyerang ketika waktu malam, atau ketika kita sukar mencari klinik berdekatan.

Ambillah segelas air zamzam.
Bacakan sepotong ayat daripada Surah Al-Fatihah.

Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in 
Hanya kepadaMu ya Allah kami sembah, dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan.

Bacakan ayat ini berkali-kali dan minumlah. Yakin bahawa Allah akan menyembuhkan penyakit kita.

Tapi, cara ini sesuai untuk anda yang sakit ringan atau kurang sihat. Kalau sakit berat, nampaknya perlu terus ke emergency--jangan bertangguh pulak.

Saturday 21 March 2015

Gangguan malam tadi...

Assalamualaikum wbt...

Malam tadi, saya langsung tak dapat tidur. Pejam saja mata, terbayanglah kelibat makhluk-makhluk yang menakutkan. Saya percaya ia jenis betina.
Saya memang tidur awal, dan bayangkan jam baru pukul sepuluh lebih malam, saya sudah ditindih oleh sesuatu. Maklumlah, tidur seorang, nak minta tolong siapa?
Takutnya--Allahu Akbar. Allah saja yang tahu. Nak tak nak, terpaksalah azan dengan suara perlahan, takutlah abang dengan adik dengar, nanti dia orang takut pulak.
Tak cukup azan dua kali, saya baca Ayatul Kursi, 3 kali, Al Fatihah, dengan 3 Qul...

Jam sudah menunjukkan pukul 11 lebih malam, dan mata ini langsung tak mahu tidur...
Sekejap lagi, terdengar bunyi loceng berdenting... Mana pulak la datang bunyi tu...
Lepas tu, dengar pula benda jatuh ke lantai...
Allah... jantung dah berdegup pantas. Satu badan dah berpeluh. 
Sekali lagi azan dan membaca surah-surah yang patut,
maka hilanglah gangguan daripada makhluk halus ciptaan Allah itu.

Mata sudah keras. Walau menyorok bawah bantal, mata melilau juga memerhati sekeliling bilik.
Alhamdulillah tak nampak apa-apa. Kalau nampak tentulahlah saya dah pengsan dulu, betul tak?
Tiba-tiba dia datang balik...Itulah, banyak kepandai fikir bukan-bukan!
Terdengar bunyi tapak kaki, berjalan mengelilingi katil Queen saya, dengar bunyi yang agak kuat.
Allah... dan sekali lagi bacaan surah dibaca. Kali ini lebih keras lagi.
Tiada lagi bunyi tapak kaki tu... dan hati ini sangat-sangat lega...

Pukul 2 lebih pagi. Mata ni memang sudah mengantuk sangat. Rasanya baru terlelap dalam sepuluh minit...
Tiba-tiba terdengar bunyi suara tangisan bayi di sebelah katil.
Allahu Akbar. Waktu itu jugalah, saya betul-betul dah tak tahan,
lalu saya buka Surah Jin dengan android dengan kuat dan berulang-ulang.
Kenapalah tak terfikir awal-awal?

Dan saya terus tak tidur hinggalah terdengar bunyi Abang masuk bilik air sebelah bilik, terus bangun jumpa Abang. Mengadulah kononnya. Lepas tu, Adik pun dapat tahu--satu rumah tak tidur sejak pukul 4 pagi.

Bincang punya bincang, barulah kami teringat, beberapa hari sebelum itu, kami ada singgah di sebuah kedai antik di Bandung, Indonesia. Dan kedai itu penuh ditabur dengan garam kasar, luar dan dalam kedai. Adakah makhluk ini mengikut saya dari sana? Wallahu alam.

Dan kebetulannya, saya ini memang mudah dihinggap sesuatu--sejak dulu lagi.

Saya? Takut? Ya, saya takut! Lebih-lebih lagi ketika diganggu itu, saya sedang bercuti solat. Saya ini manusia biasa. Saya tak punya apa-apa keistimewaan. Saya bukan orang soleh yang alim hingga ditakuti jin dan syaitan. Saya hanya insan biasa. Jangan salahkan saya jika saya rasa takut--walaupun hakikatnya saya lebih takut pada Yang Maha Kuasa.

Namun, saya percaya, Allah itu penyelamat paling agung. Dan Dia lebih berkuasa daripada segala yang ada di langit dan di bumi.

Saturday 28 February 2015

Perubatan Moden Atau Islam?

Terbaca satu komen:

Kalau sakit pergi jumpa doktorlah, bod*h!

Itu adalah kata-kata seorang hamba Allah (melayu / beragama Islam) yang terlalu moden sehingga dia tidak menyedari akan kewujudan makhluk halus yang lain, selain manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.

Tak tahu ke dia bahawa jin dan syaitan itu wujud? Dan berada di sekeliling kita 24 jam! Mustahil tak tahu.
Ketika makan, ia menumpang, ketika mandi, ia memerhati, ketika solat sekali pun ia cuba melalaikan manusia. Itu semua jika kita tak ingat pada Allah. Tak ingat nak baca basmallah. Tak percaya akan kewujudan Allah.

Bagi saya, saya percaya pada kedua-dua method perubatan. Moden dan tradisional. Kedua-duanya penting, bergantung pada penyakit yang kita hidapi. Contohnya, kalau cirit-cirit pergilah jumpa doktor. Kalau kena gangguan, cubalah perubatan islam.

Jangan sampai bila jumpa doktor, doktor yang suruh kita cari perubatan islam pulak? Perkara macam tu bukan tak pernah berlaku. Doktor pun percayakan perubatan islam, kenapa orang-orang biasa tidak? Janganlah ego sangat. Nanti satu hari kena pada batang hidung sendiri--baru kamu tahu betapa Tuhan itu wujud.

Sunday 4 January 2015

Bismillah 6


1. Dengan nama Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dialah Allah dengan segala sesuatu itu Maha Mengetahui.
2. Dengan nama Allah Yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dia Maha Pembuka rahmat lagi Maha Mengetahui.
3. Dengan nama Allah yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.
4. Dengan nama Allah yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.
5. Dengan nama Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Pemurah yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dia Maha Bijaksana lagi Maha Pemurah.
6. Dengan nama Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang yang tiada sesuatu pun yang serupa denganNya dan Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Maka Allah sebaik baik Tuhan yang memelihara dan Dialah Yang Maha Penyayang.



Bacalah Al-Fatihah dan Bismillah 6 selepas solat fardhu.
Ia boleh dijadikan jampi untuk mengusir jin dan syaitan.
Juga sebagai penawar penyakit.
In sha Allah.