Saturday 21 March 2015

Gangguan malam tadi...

Assalamualaikum wbt...

Malam tadi, saya langsung tak dapat tidur. Pejam saja mata, terbayanglah kelibat makhluk-makhluk yang menakutkan. Saya percaya ia jenis betina.
Saya memang tidur awal, dan bayangkan jam baru pukul sepuluh lebih malam, saya sudah ditindih oleh sesuatu. Maklumlah, tidur seorang, nak minta tolong siapa?
Takutnya--Allahu Akbar. Allah saja yang tahu. Nak tak nak, terpaksalah azan dengan suara perlahan, takutlah abang dengan adik dengar, nanti dia orang takut pulak.
Tak cukup azan dua kali, saya baca Ayatul Kursi, 3 kali, Al Fatihah, dengan 3 Qul...

Jam sudah menunjukkan pukul 11 lebih malam, dan mata ini langsung tak mahu tidur...
Sekejap lagi, terdengar bunyi loceng berdenting... Mana pulak la datang bunyi tu...
Lepas tu, dengar pula benda jatuh ke lantai...
Allah... jantung dah berdegup pantas. Satu badan dah berpeluh. 
Sekali lagi azan dan membaca surah-surah yang patut,
maka hilanglah gangguan daripada makhluk halus ciptaan Allah itu.

Mata sudah keras. Walau menyorok bawah bantal, mata melilau juga memerhati sekeliling bilik.
Alhamdulillah tak nampak apa-apa. Kalau nampak tentulahlah saya dah pengsan dulu, betul tak?
Tiba-tiba dia datang balik...Itulah, banyak kepandai fikir bukan-bukan!
Terdengar bunyi tapak kaki, berjalan mengelilingi katil Queen saya, dengar bunyi yang agak kuat.
Allah... dan sekali lagi bacaan surah dibaca. Kali ini lebih keras lagi.
Tiada lagi bunyi tapak kaki tu... dan hati ini sangat-sangat lega...

Pukul 2 lebih pagi. Mata ni memang sudah mengantuk sangat. Rasanya baru terlelap dalam sepuluh minit...
Tiba-tiba terdengar bunyi suara tangisan bayi di sebelah katil.
Allahu Akbar. Waktu itu jugalah, saya betul-betul dah tak tahan,
lalu saya buka Surah Jin dengan android dengan kuat dan berulang-ulang.
Kenapalah tak terfikir awal-awal?

Dan saya terus tak tidur hinggalah terdengar bunyi Abang masuk bilik air sebelah bilik, terus bangun jumpa Abang. Mengadulah kononnya. Lepas tu, Adik pun dapat tahu--satu rumah tak tidur sejak pukul 4 pagi.

Bincang punya bincang, barulah kami teringat, beberapa hari sebelum itu, kami ada singgah di sebuah kedai antik di Bandung, Indonesia. Dan kedai itu penuh ditabur dengan garam kasar, luar dan dalam kedai. Adakah makhluk ini mengikut saya dari sana? Wallahu alam.

Dan kebetulannya, saya ini memang mudah dihinggap sesuatu--sejak dulu lagi.

Saya? Takut? Ya, saya takut! Lebih-lebih lagi ketika diganggu itu, saya sedang bercuti solat. Saya ini manusia biasa. Saya tak punya apa-apa keistimewaan. Saya bukan orang soleh yang alim hingga ditakuti jin dan syaitan. Saya hanya insan biasa. Jangan salahkan saya jika saya rasa takut--walaupun hakikatnya saya lebih takut pada Yang Maha Kuasa.

Namun, saya percaya, Allah itu penyelamat paling agung. Dan Dia lebih berkuasa daripada segala yang ada di langit dan di bumi.